Keputusan PMR SBPI Jempol

Alhamdulillah pada 30 Disember 2008, keputusan Peperiksaan penilaian Menengah Rendah telah diumumkan. Seramai 41 orang pelajar daripada 84 calon telah mendapat keputusan semua A dalam subjek yang diambil. Berikut adalah keratan akhbar sinar harian.

BATU KIKIR – Seramai 41 pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Jempol (SBPI Jempol) yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) berjaya mendapat 9A bagi semua mata pelajaran yang diambil di sekolah tersebut.

Pengetua SBPI Jempol, Zainun Abdullah berkata, keputusan peperiksaan PMR pada tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak 10 peratus berbanding keputusan pada tahun lepas.

Menurut Zainun, pada tahun ini keputusan pelajar menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan apabila hampir separuh daripada jumlah pelajar yang menduduki peperiksaan PMR mendapat keputusan cemerlang.

“Peningkatan pencapaian pada tahun ini meningkat berbanding tahun lepas yang mana hanya 31 pelajar mendapat keseluruhan 9A bagi semu mata pelajaran yang diambil.

“SBPI Jempol pada tahun ini juga memperoleh keputusan cemerlang bagi tiga mata pelajaran apabila semua pelajar yang menduduki peperiksaan mendapat A bagi ketiga-tiga mata pelajaran tersebut,” katanya.

Zainun berkata, kami bersyukur apabila kesemua 84 pelajar sekolah ini berjaya mendapat A bagi tiga buah mata pelajaran iaitu Kemahiran Hidup Teknikal, Perdagangan dan Keusahawanan dan Bahasa Melayu.

“Ini menunjukkan peningkatan yang membanggakan dan memberangsangkan. Walaupun terdapat pelajar yang tidak berjaya memperoleh A bagi kesemua 9 mata pelajaran namun, mereka mereka masih mampu mendapatkan A untuk tiga mata pelajaran tersebut.

“Pelajar yang tidak mendapat A untuk kesemua mata pelajaran kebanyakannya menghadapi masalah untuk mata pelajaran Bahasa Arab dan ada segelintirnya dalam Bahasa Inggeris,” katanya.

Reaksi gembira jelas terpancar pada wajah kesemua 41 pelajar yang memperoleh 9A sejurus memperoleh keputusan yang diambil bersama ibu bapa dan rakan-rakan.

Auni Farhana Azman, 15, sememangnya menetapkan sasarannya untuk memperoleh 9A tetapi apabila ada orang yang mempersoalkan adakah dia mampu untuk mendapat 9A semangatnya kian pudar.

Namun, apabila melihat sendiri keputusan yang berada di genggamannya, dia seolah-olah tidak percaya bahawa itulah keputusan peperiksaan yang diidamkannya selama ini.

Bagi Ahmad Farhan Zulkarnain, 15, yang berasal dari Selangor berasa cukup gembira dan bangga kerana dia hanya menyasarkan tujuh atau 8A sahaja tetapi tidak percaya apabila berjaya mendapat 9A.

“Saya tidak menjangka akan mendapat 9A kerana target saya hanya tujuh atau 8A sahaja. Tetapi alhamdulillah berkat bijak membahagi masa antara belajar dan bermain, saya mampu memperoleh keputusan 9A.

“Walaupun saya tidak dapat hadir bersama kedua ibu bapa bagi mengambil keputusan peperiksaan ini, namun saya percaya ibu bapa saya pasti bangga dengan keputusan yang saya peroleh ini,” katanya.

Semoga kecemerlangan dapat diteruskan untuk masa yang akan datang.

0 Response to "Keputusan PMR SBPI Jempol"